RAMAI peserta forum, baik wanita mahu pun lelaki, menggelengkan kepala dan mengerutkan dahi apabila ditunjukkan gambar kanser membabitkan bahagian peranakan wanita kerana semuanya tampak mengerikan. Malah, ada ketumbuhan dalam rahim yang saiznya mengalahkan seorang bayi.

Malah risiko bagi sesetengah kanser berganda jika ada ahli keluarga terdekat seperti emak, bapa atau adik-beradik menderita akibat penyakit berbahaya itu.

Di negara kita, kanser wanita didahului dengan kanser payudara (21 peratus), kolon (10 peratus), pangkal rahim (9.8 peratus), perut (7.6 peratus), paru-paru (tujuh peratus), ovari (4.4 peratus) dan rahim (3.8 peratus).

Kanser adalah sel badan yang terhasil terlalu cepat dan tidak terkawal sehingga menyebabkan bonggol sel dipanggil ketumbuhan yang boleh bersifat benigna (tidak merebak) atau malignan (boleh merebak ke bahagian badan yang lain).

Uniknya, sel kanser yang merebak (berpindah ke organ lain melalui aliran darah atau cecair limfa), ia akan singgah dan membiak (membahagi dengan cepat) membentuk koloni baru pada organ tempat persinggahan itu.

Keunikan kedua, koloni kanser ini boleh mencuri nutrien yang dibawa dalam darah dengan membentuk salur darah baru supaya nutrien tadi dapat disalurkan terus ke sel kanser untuk ia tumbuh lebih besar.

Keadaan ini akan menekan tisu dan saraf berhampiran yang menyebabkan rasa sakit. Perkara sama berlaku pada kanser peranakan wanita seperti kanser pangkal rahim, ovari, rahim dan faraj.

Sebagaimana kanser lain, punca sebenar kanser peranakan wanita juga tidak diketahui dengan tepat. Ia boleh disebabkan jangkitan bakteria, virus atau pencemaran (udara atau makanan) namun kebanyakan kes, puncanya tidak diketahui.

Daripada empat jenis kanser peranakan, kanser pangkal rahim menduduki tangga teratas yang menyerang lebih 500,000 pesakit di seluruh dunia diikuti kanser ovari, rahim dan faraj (jarang berlaku).

Daripada 500,000 kes kanser pangkal rahim, 70 peratus berlaku di negara miskin dan 80 peratus dikesan lewat. Ini menyebabkan kebanyakan kes kanser pangkal rahim berakhir dengan kematian.

Justeru, penekanan lebih diberi kepada kanser pangkal rahim, tetapi pada masa sama kanser ovari dan rahim perlu diketahui kerana ia juga boleh membunuh, kata Perunding Ginekologi dan Pakar Kanser Wanita Pusat Perubatan Sunway, Dr G Balasundram.

Meskipun jumlah pesakit kanser ovari jauh lebih rendah berbanding kanser pangkal rahim (satu kes bagi setiap 55 wanita), ia terkenal dengan gelaran pembunuh senyap kerana ia biasanya tidak ditemui hinggalah sel kanser merebak ke lain anggota badan iaitu apabila ia sampai ke peringkat serius.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, dianggarkan hanya 20 peratus kes dikesan sebelum ia merebak.

Setiap wanita mempunyai dua ovari iaitu pada sebelah kanan dan kiri rahim. Saiz ovari sangat kecil iaitu hanya tiga sentimeter atau sebesar badam — berfungsi menghasilkan telur (ovum) dan hormon seks (estrogen dan progesteron).

Sel kanser dari ovari ini boleh merebak terus ke organ bersebelahan atau ke organ yang jauh melalui aliran darah atau salur limfa.

Mengapa kanser ovari sukar dikesan? Ini kerana gejalanya tidak khusus dan menyerupai masalah kesihatan lain, termasuk gangguan pencernaan dan pundi kencing.

Wanita yang menghidap kanser ovari mungkin didiagnos dengan penyakit lain dulu sebelum disahkan menghidap kanser. Antara gejala kanser ovari ialah:

  • Abdomen (perut) terasa sakit atau sentiasa tidak selesa
  • Perut kembung seperti ada angin, terasa penuh
  • Pinggul terasa sakit
  • Berlaku perubahan jadual ke tandas (termasuk sembelit)
  • Penurunan berat badan tanpa sebab
  • Sakit ketika mengadakan hubungan seks
  • Kerap terasa hendak kencing
  • Sentiasa lesu
  • Sakit belakang atau pinggang
  • Perubahan pada kitaran haid Gejala peringkat akhir:
  • Perut kembung
  • Muntah
  • Sesak nafas
  • Kehilangan berat badan yang banyakFaktor risiko kanser ovari
  • Mutasi gen atau perubahan bahan baka (diwarisi). Ia boleh berlaku jika pesakit mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara berulang kali. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, pesakit tidak mempunyai mutasi gen.
  • Sejarah keluarga — Ada kalanya kanser ovari berlaku pada lebih seorang ahli keluarga wanita tetapi ia bukan disebabkan mutasi gen. Jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser ovari, risiko anda mendapat penyakit sama ialah antara 10 hingga 15 peratus. Jika anda pernah menghidap kanser payudara, risiko untuk kanser ovari juga meningkat.
  • Umur — Risiko meningkat dengan peningkatan umur dan kebanyakan kes berlaku pada wanita 60 tahun ke atas atau selepas menopaus. Namun ia juga boleh berlaku pada wanita muda atau sebelum menopaus.
  • Status kehamilan — Kajian menunjukkan wanita yang pernah hamil walaupun sekali mempunyai risiko lebih rendah untuk diserang kanser ovari. Ini bermakna wanita yang tidak pernah hamil atau ada masalah kesuburan mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser ini. Malah pengambilan pil perancang keluarga juga didapati mampu memberi perlindungan kepada kanser ovari.
  • Obesiti — Wanita obes mempunyai risiko lebih tinggi, malah obesiti juga dikaitkan dengan kanser ovari yang lebih agresif; menyebabkan ia mudah merebak, berulang dan peluang sembuh juga lebih rendah.
  • Terapi penggantian hormon (HRT) — Kajian mendapati wanita menopaus yang mengambil hormon estrogen saja lebih berisiko, terutama jika pengambilan pil hormon ini melebihi lima tahun. Bagaimanapun, ia bukan bermakna HRT tidak bagus, berbincanglah dengan doktor anda mengenai perkara ini kerana HRT ada banyak manfaat lain.

    Faktor untuk mengurangkan risiko kanser ovari:

  • Pengambilan pil perancang. Penggunaan selama dua tahun didapati dapat mengurangkan risiko sebanyak 30 peratus dan 50 peratus jika diambil melebihi lima tahun
  • Mengandung
  • Memberi anak susu badan
  • Pembedahan — Pembedahan pemandulan boleh mengurangkan risiko sebanyak 33 peratus dan 67 peratus di kalangan wanita yang menjalani pembedahan pembuangan rahim
  • Kawalan pemakanan dan bersenam — Penjagaan makan dan bersenam enam kali seminggu boleh mengurangkan 27 peratus risiko kanser ovari.“Hampir 75 peratus kes pesakit lewat berjumpa doktor iaitu apabila kanser sudah merebak sedangkan peluang untuk sembuh adalah tinggi jika dikesan awal. Biasanya kanser ini berlaku pada wanita tua berumur 60 tahun ke atas.

    “Wanita yang mengalami gejala kembung dan perut sentiasa berasa tidak selesa melebihi beberapa minggu disaran berjumpa doktor dan jalani pemeriksaan.

    “Ujian imbasan bunyi pada abdomen akan dilakukan untuk mengesan ketumbuhan. Ujian penanda tumor tidak disarankan kerana ia kurang tepat. Ada kala ia menunjukkan penanda tumor yang tinggi, sedangkan pesakit tidak mempunyai kanser atau sebaliknya.

    “Namun ia berguna selepas seseorang disahkan menghidap kanser sebagai ukuran aktiviti penyakit, bukan untuk pengesanan,” katanya.

    Untuk menyelamatkan pesakit, ovari yang diserang kanser (sama ada satu atau kedua-dua) akan dibuang melalui pembedahan. Kemoterapi hanya berkesan jika sel kanser kecil tetapi tidak memberi banyak manfaat jika kelompok sel kanser itu besar.

    Kanser rahim

    Ini juga antara kanser yang jarang dilaporkan. Kanser rahim mewakili empat peratus daripada keseluruhan kanser peranakan dan berita baiknya, peluang untuk sembuh sangat tinggi.

    Bagaimanapun, berbeza dengan kanser ovari, kanser rahim berlaku pada golongan lebih muda iaitu 50 tahun dan jarang menyerang wanita muda (di bawah 40 tahun).

    Insiden kanser ovari dan rahim lebih rendah pada wanita di negara membangun atau miskin kerana mereka kerap mengandung dan melahirkan anak. Antara kumpulan wanita yang berisiko tinggi mendapat kanser rahim ialah:

  • Gemuk atau obes
  • Tidak pernah mengandungi
  • Pernah mengalami sindrom polisistik ovari
  • Cepat baligh
  • Lambat menopaus
  • Menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan kencing manis
  • Menghidap penyakit pundi hempedu
  • Pengambilan HRT estrogen saja
  • Mengalami haid yang tidak normal Menurut Dr Balasundram, gejala kanser rahim yang biasa dialami wanita ialah pendarahan selepas menopaus. Bagi wanita belum menopaus, mereka mungkin alami pendarahan yang banyak dan berpanjangan di antara kitaran haid.“Apabila berlaku pendarahan yang tidak normal, segera jalani pemeriksaan seperti imbasan bunyi. Ia petanda penting untuk kanser rahim. Kini pakar perbidanan mempunyai peralatan canggih dan mampu mengesan ketumbuhan pada ovari atau rahim.

    “Pengesanan awal membolehkan pesakit diberi rawatan segera dan peluang sembuh jauh lebih tinggi, terutama untuk kanser ovari.

    “Rawatan yang ada hanya pembedahan pembuangan rahim dan ovari. Kadangkala ia perlu disusuli radioterapi; tertakluk kepada keadaan setiap pesakit. Kemoterapi hanya akan diberi apabila kanser rahim sudah merebak,” katanya.

    Kanser pangkal rahim

    Ia kanser kedua paling banyak berlaku pada wanita di negara ini selepas kanser payudara. Ia disebabkan jangkitan virus (virus human papilloma, HPV melalui hubungan seks) dan boleh berlaku pada semua peringkat umur, khususnya wanita yang mempunyai kehidupan seksual yang aktif.

    Walaupun kempen kesedaran mengenai kanser ini kerap dijalankan, 70 peratus pesakit hanya berjumpa doktor apabila kanser mereka sampai ke peringkat ketiga atau keempat (serius).

    “Semua kanser boleh dirawat walaupun bukan semua kanser boleh disembuhkan. Yang penting ialah anda perlu jalani pemeriksaan supaya kanser boleh dikesan pada peringkat awal dan untuk kanser pangkal rahim, ujian paling mudah ialah lumuran pap.

    “Ramai wanita bertanya, bila perlu mula jalani ujian ini? Ia perlu dilakukan apabila wanita itu aktif seks dan jika dia mula mengadakan hubungan seks, jalanilah ujian lumuran pap pada usia 21 tahun kerana sel mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk berubah (kepada sel kanser).

    Walaupun kebanyakan doktor menyarankan ujian lumuran pap dijalankan setiap tahun, tetapi jika anda dapat lakukan dua atau tiga tahun sekali secara tetap sudah cukup baik,” katanya.

    Bila masa sesuai? Bila-bila masa kecuali ketika haid kerana doktor perlu mengambil sampel tisu pada pangkal rahim. Bila pula boleh berhenti jalani ujian lumuran pap? Jika semua ujian lumuran pap terdahulu menunjukkan keputusan normal, wanita boleh menghentikan ujian ini selepas berumur 65 tahun.

    Bagi wanita yang tidak pernah mengadakan hubungan seks, ujian ini tidak diperlukan kerana mereka tidak terdedah kepada virus HPV.

    Namun ada juga kes di mana wanita disahkan menghidap kanser pangkal rahim walaupun ujian lumuran pap menunjukkan keputusan normal.

    Dr Balasundram berkata, ia disebabkan kesilapan doktor yang mengambil sampel faraj dan bukan tisu pangkal rahim.

    Ia adalah kesilapan manusia, bukan kegagalan ujian kerana sehingga kini ujian lumuran pap terbukti berkesan mampu mengesan perubahan pada sel pangkal rahim.

    Kaedah lain untuk mencegah kanser pangkal rahim ialah dengan mendapatkan suntikan vaksin iaitu sebelum seseorang wanita terdedah kepada virus HPV.

    Umur yang disaran untuk mendapatkan vaksin ialah antara 10 hingga 30 tahun kerana ketika ini tindak balas badan terhadap vaksin jauh lebih baik.

    “Perlu ingat, walaupun sudah mendapatkan suntikan vaksin, wanita masih perlu jalani ujian lumuran pap kerana vaksin yang ada sekarang hanya memberi perlindungan kepada beberapa jenis virus HPV, iaitu jenis paling kerap menyebabkan kanser pangkal rahim dan seseorang wanita masih berisiko mendapat jangkitan ini.

    “Paling penting ialah mesti berani jalani ujian. Jangan biarkan diri anda dalam keadaan tidak tahu kerana ini adalah punca yang menyebabkan banyak kes kanser pangkal rahim sukar diselamatkan,” katanya.