WASHINGTON: Perkahwinan lelaki tua dengan perempuan yang jauh lebih muda menyumbang kepada panjang usia dan memastikan ‘manusia terus wujud’, menurut penyelidik Universiti Stanford dan Universiti California-Santa Barbara.

Teori evolusi menyatakan, individu sepatutnya meninggal dunia pada usia tua apabila kehidupan reproduktif mereka sudah sempurna, secara umumnya pada usia 55 tahun, menurut calon ijazah kedoktoran sains biologi di Universiti Stanford, Cedric Puleston.

Bagaimanapun, menjadi bapa pada usia tua di kalangan segelintir lelaki mencukupi untuk melanjutkan waktu kematian kerana ia secara semula jadi melawan perubahan pendek umur.

“Penyanyi Rod Stewart dan pengacara David Letterman yang memiliki anak pada usia mereka melebihi 50-an dan 60-an tidak memberi kebaikan secara peribadi, tetapi ia memberi kesan kepada proses kependudukan jika aliran melahirkan pada usia tua meningkat.

“Ia memberi faedah kepada manusia jika orang seperti ini ada. Dengan meningkatkan ‘proses kewujudan’ lelaki sebenarnya memberi kesan kepada wanita kerana lelaki mewariskan gen mereka kepada anak kedua-dua jantina,” kata Puleston.

Kemampuan manusia mengukur sejauh mana jangka hayat manusia melepasi tempoh kesuburan – menjadi tumpuan saintifik selama lebih 50 tahun.

Tidak seperti penyelidikan terdahulu mengenai kelahiran manusia, kajian ini – buat kali pertama – memasukkan data mengenai lelaki, yang membolehkan penyelidikan mula menjawab persoalan jangka hayat dengan memadankannya dengan corak kematian manusia.

Menurut Puleston, kajian terdahulu cuma mengkaji wanita, kerana saintifik boleh menghasilkan set data yang baik bagi manusia bergantung kepada maklumat berkaitan kesuburan dan kadar panjang umur.

Dalam kajian, penyelidik menganalisis ‘model dua jantina menunjukkan pilihan cenderung hidup selagi lelaki mampu membantu melahirkan zuriat.

Source: berita harian online