Kajian UKM mendapati pelumba motosikal haram antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara

mainpix1SEKS di atas motosikal. Suatu yang pelik dan agak mustahil, tetapi bagi sesetengah pelumba motosikal haram atau mat rempit, itu perkara biasa bahkan menjadi kebanggaan kerana ia melambangkan kehebatan sesama mereka.

Tindakan liar dan tidak bermoral itu adalah antara pengakuan mat rempit dan minah rempit berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozimi Ismail.

Kajian akademik pertama mengenai isu mat rempit itu juga mendedahkan peningkatan pembabitan remaja Melayu yang mencapai 95 peratus daripada keseluruhan mat rempit seluruh negara, berbanding kajian kali pertama pada 2002 yang merekodkan 80 peratus.

Dr Rozimi menjalankan kajian mengikut geran penyelidikan UKM secara berperingkat selama enam tahun bermula 2002 hingga 2006 membabitkan tiga tajuk kajian

Kajian pertama bertajuk ‘Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (2000 hingga 2002) diikuti kajian kedua bertajuk ‘Faktor Pembabitan Mat Rempit (2003-2004). Seterusnya, kajian terbaru berjudul ‘Pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah’ lebih kepada melihat tahap serta jenis jenayah berpunca daripada golongan berkenaan.

Operasi membenteras lumba haram

Operasi membenteras lumba haram

Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka disifatkan sebagai ‘kepala angin’ atau sanggup melakukan apa saja untuk mencari keseronokan manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor iaitu individu yang benar-benar sukakan motosikal.

Kebanyakan mat motor ini pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan.

“Ramai antara mat rempit yang mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ini membuktikan golongan itu menjadi antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara.

“Kira-kira 24 peratus daripada mereka mengaku pernah terbabit dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng, vandalisme dan seks bebas.

“Mereka terlalu muda dan masih belum terlewat untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Kebanyakan mereka berusia antara 14 hingga 25 tahun dan majoritinya berusia lingkungan 21 ke atas,” katanya.

Usia terlalu muda juga menyebabkan mereka mudah taksub kepada ketua kumpulan terdiri daripada mat rempit senior. Ada antara mereka digelar ‘sifu, abang pendek, abang pendek’.

Tidak menghairankan jika dikaji latar belakang mat rempit, ia menjurus kepada golongan yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Logiknya mereka juga mempunyai tahap pendidikan agak rendah dan ada antaranya tercicir daripada pengajian sekolah.

Apa yang mereka tahu ialah mencari hiburan tetapi dengan cara tersendiri yang jelas membahayakan nyawa sendiri bahkan boleh menjadi igauan ngeri kepada pengguna jalan raya lain.

Kebanyakan mereka penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pekerja kilang (bahagian am), mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT).

Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu atau tamat tempoh sah. Kebanyakan mereka juga sering menggunakan motosikal milik ibu bapa, abang, kawan, syarikat untuk berlumba.

Agak menarik, mat rempit mempunyai sikap setia kawan yang cukup tinggi dan sering mengutamakan kumpulan. Contoh paling mudah ialah jika berlaku kemalangan sama ada ketika operasi atau berlumba, mereka akan melarikan rakan mereka dan motosikal secepat mungkin sebelum dicekup polis.

INFO: Mat Rempit

  • 76 peratus pernah ditahan polis sekurang-kurangnya sekali atau kesalahan sama atau jenayah.
  • 24 peratus daripada mereka akan mat rempit baru (ikutan).
  • 11 peratus daripada mereka adalah pelajar termasuk Institut Pengajian Tinggi (IPT).

    Kajian:

  • pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah (560 responden)
  • Faktor Pembabitan Mat Rempit (100 responden)
  • Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (108 responden)

    Kawasan kajian:

  • Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang)
  • Zon Tengah (Kuala Lumpur dan Perak)
  • Zon Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan)
  • Zon Selatan (Johor).

    Atara geng mat rempit:

  • Apache (Kuala Lumpur)
  • Budak Shell (Kuala Lumpur)
  • Man Botak (Pantai Timur)
  • Man Kerinting (Pantai Timur)
  • Skuter Boys (Sungai Besi, Kuala Lumpur)

    Jenis motosikal paling popular digunakan mat rempit:

  • Yamaha RXZ
  • Honda EX5
  • Yamaha Nuovo
  • Suzuki 100
  • Modenas Kriss

    Cadangan:

    1) Mewujudkan tempat aktiviti sesuai untuk mereka seperti litar lumba secara percuma.

    2) Menghantar mat rempit menyertai aktiviti atau program yang mampu mengubah tingkah laku mereka dan wujudkan sikap saling menghargai.