Amaran untuk golongan lelaki, khususnya suami pada usia pertengahan – apakah anda cepat marah, lesu dan tidak berminat untuk berasmara?

Jika ya, itu bukanlah perkara biasa kerana anda kemungkinan besar mengalami masalah menopaus lelaki atau andropaus jauh lebih awal, seperti didakwa penyelidik Britain.

Akhbar Daily Mail melaporkan, andropaus merujuk kepada penurunan hormon seks androgen lelaki atau testosteron yang memainkan peranan penting bagi kesihatan dan rasa berahi lelaki.

Antara puncanya termasuk masalah rumah tangga, perubahan status sosial, masalah di tempat kerja, kurang bersenam, kesan jangka panjang pengambilan alkohol, merokok dan usia lanjut.

“Ada lelaki khususnya yang sudah mencecah 50-an, berdepan masalah seperti lemah tenaga batin biarpun badan mereka masih menghasilkan hormon itu pada paras yang sama,” kata Pakar Pusat Kesihatan Lelaki London, Dr Malcolm Carruthers.

Penurunan paras testosterone itu menyamai apa yang dirasai wanita yang berdepan menopaus.

“Tanda-tanda lemah itu disebabkan badan sudah mulai menolak kesan testosteron. Berikutan itu, ramai lelaki yang boleh mendapat manfaat jika sanggup menjalani rawatan penggantian hormon,” katanya.

Namun, apakah jalan penyelesaiannya? Profesor John McKinlay dari Institut Penyelidik New England berkata, mereka yang mengalami masalah itu perlu meningkatkan kegiatan fizikal dan menjalani diet daripada memilih jalan mudah dengan mengambil pil tertentu.

“Masalahnya, ramai di kalangan kita yang lebih suka mengambil pendekatan mudah iaitu memilih ubat-ubatan bagi menyelesaikan masalah akibat gaya hidup serta proses semula jadi penuaan.”

Katanya, paras hormon itu boleh diperiksa dengan ujian sampel darah yang mudah.

Dr Carruthers pula berkata, antara kaedah bagi mengatasinya termasuk mengambil hormon gantian dalam bentuk gel atau krim yang boleh disapu pada bahu atau perut setiap hari.

Bulan lalu, satu kajian penyelidik Amerika Syarikat mendapati seorang bagi setiap lima lelaki berusia lebih 65 tahun boleh berdepan simptom andropaus berkenaan.