Pembabitan pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam kes jenayah di ibu negara semakin serius terutama melibatkan jenayah dadah diikuti dengan penipuan dan penipuan black money.

Dari Januari hingga Jun tahun ini, seramai 31 pelajar ditahan membabitkan enam pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 25 pelajar IPTS.

“Kes jenayah pelajar termasuk pelajar warga asing semakin serius terutama di kalangan pelajar IPTS. Polis membuat pemantauan berterusan yang melibatkan kumpulan terbabit,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman selepas melancarkan Kempen Unit Kesukarelaan Pencegahan Jenayah dan Rakan Cop di Universti UCSI di sini semalam.

Beliau berkata, pelajar IPTA yang ditahan itu ialah pelajar tempatan manakala daripada 25 pelajar IPTS yang ditahan, 18 ialah penuntut tempatan dan baki pelajar asing.

Katanya, daripada pelajar asing yang ditahan itu, tiga dari Kazakhstan dan empat dari Nigeria.