Ramai yang mengalami masalah lemah kawalan kencing berdiam diri tanpa merujuk kepada pakar untuk merawat masalah mereka. Adakah penyakit ini boleh diatasi?

JANGAN biarkan masalah lemah kawalan kencing mengganggu kehidupan seharian anda

JANGAN biarkan masalah lemah kawalan kencing mengganggu kehidupan seharian anda

MASALAH lemah kawalan kencing lebih cenderung berlaku dalam kalangan wanita berbanding kaum lelaki. Menurut kajian, satu daripada empat wanita berumur 35 tahun ke atas mengalami kegagalan mengawal kencing. Sesetengah wanita mungkin terkucil beberapa titis air kencing semasa bersin, batuk, ketawa atau bersenam.

Dipercayai, ramai wanita yang menghadapi situasi sebegini tidak mahu berjumpa doktor dan malu membincangkan masalah itu dengan orang lain. Biarpun, mereka tidak mengetahui apa masalah yang membelenggu diri, mereka tetap tidak mahu mendedahkannya.

Kebocoran ini berlaku kerana otot lantai pelvik wanita telah menjadi lemah (selalunya berlaku setelah melahirkan anak). Ini menyebabkan mereka tidak cukup kuat untuk menahan air kencing daripada mengalir keluar.

Keadaan ini juga biasa berlaku ketika bayi masih dalam kandungan. Apabila bayi semakin membesar, ia akan memberi tekanan pada pundi kencing ibunya.

Sewaktu bersalin pula, pergerakan bayi melalui ruang peranakan memberi tekanan kepada pelvik dan menyebabkan hilangnya kawalan kencing ke atas wanita tersebut.

Faktor melahirkan anak adalah antara salah satu sebab yang utama.

Selain itu, batuk atau bersin yang berpanjangan, sembelit, tambahan berat badan dan menopaus (putus haid) yang menyebabkan paras hormon semakin menurun turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Peter memberitahu, masalah hilang kawalan pada pundi kencing atau dikenali sebagai urine incontinence (UI) itu dihadapi wanita dan juga lelaki.

Bagaimanapun, wanita mengalami masalah itu dua kali ganda lebih kerap berbanding dengan lelaki.

Masalah UI juga dikenal pasti dihadapi antara 12 hingga 14 peratus orang dewasa di negara ini dengan sejumlah 85 peratus dialami wanita.

Pundi kencing iaitu organ berbentuk belon bersambung ke uretra, tiub di mana air kencing dikumuh dari tubuh.

Bagi wanita mengandung atau bersalin, masalah kebocoran air kencing berlaku bukan disebabkan cara kelahiran bayi tetapi dipengaruhi oleh perubahan hormon. Manakala berat kandungan bayi pula boleh melemahkan otot lantai pelvik yang merangkumi pundi kencing, dubur dan alat kelamin.

Wanita menopaus pula berdepan dengan tahap estrogen yang turun mendadak hingga menyebabkan berlaku perubahan pada tisu di sekeliling bahagian uro-genital.

Masalah hilang kawalan pundi kencing bukan sahaja dihadapi wanita yang sudah berusia atau putus haid, malah ia turut menyerang mereka yang melahirkan anak dan wanita muda yang belum berkahwin.

Kes paling muda yang ditemui melibatkan remaja perempuan berusia 15 tahun.

Lemah kawalan kencing juga adalah salah satu bentuk inkontinens (tidak berupaya untuk mengawal pembuangan air kencing).

TANGANI masalah lemah kawalan kencing dengan melakukan senaman otot lantai pelvik.

TANGANI masalah lemah kawalan kencing dengan melakukan senaman otot lantai pelvik.

Ada beberapa jenis inkontinens. Antaranya inkontinens jenis stres seperti yang diterangkan tadi, jenis desakan, jenis campuran, jenis kencing berlebihan dan inkontinens disebabkan penggunaan ubat-ubatan.

Inkontinens jenis desakan

Wanita yang mengalami masalah ini boleh kehilangan air kencing (urin) dalam amaun yang besar. Wujud perasaan ‘tidak sempat ke bilik air’.

Inkontinens jenis ini selalunya disebabkan pundi kencing yang terlebih aktif dan berkontraksi sebelum individu betul-betul bersedia. Ramai wanita yang mengalami masalah lemah kawalan kencing jenis desakan akibat daripada infeksi yang menyebabkan iritasi pada pundi kencing atau salur keluar pundi kencing (uretra), atau menyebabkan spasma otot (pengecutan otot luar kawalan) yang memaksa pengeluaran air kencing dari pundi.

Inkontinens jenis campuran

Adalah tidak mustahil untuk seseorang mengalami simptom kedua-dua jenis masalah lemah kawalan kencing jenis stres dan desakan pada masa yang sama.

Kedua-dua jenis masalah ini mungkin atau tidak mungkin berkaitan dan perlu diteliti secara berasingan.

Inkontinens jenis berlebihan

Sesetengah wanita mengalami keadaan di mana mereka tidak mempunyai rasa untuk kencing atau mengalami keadaan yang mana uretra (saluran keluar air kencing) tersumbat.

Dalam kedua-dua keadaan ini, pundi kencing tidak dapat dikosongkan dengan sepenuhnya, dan apabila air kencing di dalam pundi berlebihan, air kencing tersebut akan dipaksa keluar. Lemah kawalan kencing jenis ini sering berpunca daripada masalah sistem saraf dan kecederaan pada otot saraf tunjang.

Inkontinens disebabkan penggunaan ubat

Terdapat sesetengah ubat yang boleh menjadi punca kepada kegagalan kawalan kencing untuk mengecutkan otot atau menghalang isyarat dari pundi kencing yang telah penuh ke otak.

Dalam keadaan ini, doktor mungkin menukar jenis ubat yang diambil bagi mengurangkan kesan sampingan yang dialami.

Advertisements