Kira-kira 13 juta pengguguran dilakukan setiap tahun di China, kebanyakannya oleh wanita muda yang tidak tahu mengenai kaedah mencegah kehamilan, menurut media negara itu dalam satu pendedahan yang jarang dibuat mengenai statistik merancang keluarga yang sensitif.

Menurut akhbar China Daily, jumlah sebenar pengguguran dipercayai lebih tinggi berbanding 13 juta prosedur yang dilakukan di hospital-hospital kerana banyak lagi yang berbuat demikian di klinik luar bandar yang tidak berdaftar.

“Malah, kira-kira 10 juta pil pengguguran dijual setiap tahun di China,” kata laporan akhbar tersebut

Memetik kenyataan seorang pegawai kerajaan di Suruhanjaya Penduduk Nasional dan Perancang Keluarga, Wu Shangchun berkata, hampir separuh daripada wanita di China yang melakukan pengguguran tidak menggunakan sebarang bentuk pencegahan hamil.

Pada 1970an, China mengenakan kawalan ketat bagi setiap kelahiran dan mengehadkan pasangan untuk memiliki hanya seorang anak.

Langkah tegas kerajaan China itu dikatakan telah menghalang 400 juta kelahiran baru dalam negara yang berpenduduk paling padat di dunia iaitu sebanyak 1.3 bilion orang.

Kaedah pemandulan dan penggunaan alat intrauterin, atau IUD, dipromosikan secara meluas dan diberikan subsidi sebagai bentuk pencegahan hamil kepada wanita berkahwin.

Bagaimanapun, polisi tersebut terlepas pandang kepada keperluan wanita yang tidak berkahwin apabila sikap mereka terhadap seks telah menjadi semakin liberal sekarang.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 62 peratus wanita yang menjalani pengguguran adalah masih bujang yang berumur antara 20 dan 29 tahun.

Pengguguran itu dipanggil sebagai ‘satu situasi malang’ tetapi ia tidak menyatakan sama ada kadar pengguguran sedang meningkat kerana tiada perbandingan tahun atas tahun diberikan.

Wu berkata, negaranya kini menghadapi satu cabaran besar untuk mengurangkan jumlah pengguguran haram yang kian meningkat.

Berbanding di Amerika Syarikat, kira-kira 1.2 juta wanita melakukan pengguguran di negara yang memiliki penduduk lebih 300 juta orang itu.

Source: AP