LAM menunjukkan laporan polis berhubung penipuan melalui Internet di pejabat MCA

LAM menunjukkan laporan polis berhubung penipuan melalui Internet di pejabat MCA

Helah seorang lelaki memikat seorang gadis melalui Internet membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapatkan wang sebanyak RM19,879.29 daripada gadis terbabit setelah berpura-pura ingin mengahwininya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lam, 39, memberitahu, dia mengenali lelaki yang bernama Raymond itu menerusi sebuah laman web yang dilayarinya dua bulan lalu.

“Bermula dengan satu pesanan darinya yang mengaku tinggal di United Kingdom, hampir setiap hari kami berhubung sehinggalah kami menjadi mesra,” ceritanya pada sidang akhbar di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Michael Chong di Ampang K.Lumpur.

Menurutnya, kerana kasih, Raymond berjanji akan mengirimkan sebuah komputer riba, pemain digital MP3, sebentuk cincin dan banyak lagi menerusi kargo selepas berbual pada 26 Jun lepas.

Selang tiga hari kemudian, Lam telah dihubungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Keiran mendakwa mewakili sebuah syarikat kargo Skynet memintanya memasukkan RM16,379.29 sebagai cukai kastam ke atas barangan yang dikirim oleh Raymond.

Source: Kosmo Online