GAMBAR (kiri); Ibu dua anak menutup muka selepas ditangkap khalwat oleh Jaips di Hotel Putra Palace, Kangar semalam. (kanan); Seorang lelaki menunjukkan kek yang dibelinya bagi meraikan ulang tahun kelahiran isteri pada hari isterinya ditangkap khalwat semalam.

KANGAR: Hasrat seorang suami untuk meraikan ulang tahun kelahiran isterinya berkecai apabila wanita itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah hotel di sini, awal pagi semalam.

Malah, suami wanita berkenaan menyaksikan sendiri isterinya ditahan bersama lelaki terbabit oleh sepasukan empat anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), kira-kira jam 5.30 pagi.

Wanita berkenaan yang genap 31 tahun kelmarin, bertugas sebagai pegawai imigresen di Sungai Petani dan pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia dua serta enam tahun.

Pengarah Jaips, Abdul Malik Hussin, ketika dihubungi berkata empat anggota Jaips menyerbu hotel itu selepas menerima maklumat awam.

“Apabila pintu bilik hotel diketuk, wanita itu membukanya, manakala teman lelakinya berada di atas katil. Wanita itu memberi alasan kononnya sedang mengadakan perbincangan perniagaan dengan lelaki berkenaan,” katanya.

Lelaki berusia awal 30-an itu bagaimanapun, dibebaskan kerana bukan Islam, manakala wanita berkenaan dibebaskan dengan bon jaminan RM2,000 serta seorang penjamin, kira-kira jam 12 tengah hari semalam selepas keterangannya diambil.

Abdul Malik berkata, wanita itu akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah, Rabu ini, mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis yang boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, suami wanita berkenaan yang juga berusia 31 tahun, ketika ditemui berkata, beliau membeli kek bernilai RM35 dan sejambak bunga untuk meraikan ulang tahun isterinya, malam kelmarin.

“Ketika sampai di pekarangan rumah di Sungai Petani, saya melihat isteri bergegas menaiki kereta seorang diri dan saya mengekorinya sehingga sampai di sebuah hotel di sini,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai juruteknik kanan sebuah kilang, mengakui sebelum ini ada mendengar khabar angin berhubung kecurangan isterinya yang mempunyai empat telefon bimbit.

“Kini ia ternyata benar,” katanya sambil menunjukkan kek kegemaran isterinya itu.

Ibu dua anak (tengah) yang didakwa berkhalwat dengan lelaki bukan Islam berbincang dengan peguamnya di Kompleks Mahkamah Syariah, Kangar. Dia ditahan ketika serbuan di sebuah hotel di sini minggu lalu yang turut dihadiri oleh suaminya.

Ibu dua anak (tengah) yang didakwa berkhalwat dengan lelaki bukan Islam berbincang dengan peguamnya di Kompleks Mahkamah Syariah, Kangar. Dia ditahan ketika serbuan di sebuah hotel di sini minggu lalu yang turut dihadiri oleh suaminya.