WASHINGTON – Selebriti terkenal, David Letterman (gambar) kelmarin membuat pengakuan terbuka dalam program bual bicaranya bahawa dia menjalin hubungan seks dengan beberapa petugas wanitanya.

“Saya telah melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita yang bertugas dalam program ini,” kata Letterman kepada penonton di New York dalam rakaman program Late Show With David Letterman.

Dia membuat pendedahan itu selepas diugut oleh seorang lelaki yang menuntutnya membayar sebanyak AS$2 juta (RM6.92 juta) jika tidak mahu rahsianya itu didedahkan kepada umum.

Letterman berkata, dia mendapat nota ugutan itu yang diletak di tempat duduk belakang keretanya tiga minggu lalu.

Menurutnya, dia melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan membuat pengakuan terhadap semua perkara buruk yang pernah dilakukannya pada masa lampau.

Letterman menjelaskan suspek kini ditahan pihak polis untuk siasatan. – AFP