Tindakan segelintir siswi institusi pengajian tinggi (IPT) yang hanyut dengan corak hidup kota sehingga melanggar batasan agama semata-mata kerana ingin hidup mewah adalah perbuatan yang menghina Islam dan boleh dianggap munafik.

Pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah, berkata adalah berdosa besar apabila seseorang itu hidup mewah dengan cara yang menyalahi agama Islam.

Katanya, tindakan segelintir siswi itu bukan saja merosakkan diri sendiri tetapi menghina agama Islam apabila ada antara mereka menuntut dalam bidang itu.

Mereka sepatutnya menuntut ilmu tetapi sebaliknya yang berlaku apabila terpesong dengan apa yang dipelajari. Lebih mengecewakan jika ada yang menuntut dalam bidang agama Islam tetapi terbabit sama dengan gejala sosial.

Dalam Islam, jelas wang yang diperoleh tanpa mengikut syarak adalah haram, malah mereka yang didapati berzina misalnya boleh dikenakan hukuman sebat 100 rotan dan pasangannya pula jika sudah berkahwin, direjam hingga mati,” katanya mengulas gejala sosial siswi IPT hari ini, termasuk sanggup menggadai maruah, berikutan jauh daripada pemantauan ibu bapa.

Beliau yang turut melahirkan rasa sedih berkata, meskipun gejala sosial bukan perkara baru di kalangan penuntut universiti di negara ini, ia perlu dibanteras kerana semakin membimbangkan.

“Saya menyeru kepada siswi serta mereka yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial supaya segera bertaubat kerana jelas menyalahi peraturan, malah menghina agama dengan apa dilakukan. Tempat bagi orang seperti ini adalah di neraka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan jabatan agama khususnya perlu mengambil tindakan drastik, termasuk mewujudkan peraturan dan hukuman lebih berat, supaya masalah itu dapat diatasi.

Beliau turut mengharapkan institusi pendidikan ada kaedah terbaik untuk membendung penuntut mereka daripada terbabit dalam gejala tidak sihat.