REMAJA keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya selepas dijatuhi hukuman, semalam. Mereka antara 12 yang ditahan berkhalwat di sebuah pangsapuri 5 September lalu.

2 beradik perempuan mengaku bersalah

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya semalam menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 12 bulan terhadap lima remaja berusia antara 17 dan 24 tahun, termasuk dua beradik perempuan, selepas mengaku bersalah melakukan khalwat di sebuah pangsapuri di Presint 9 di sini pada 5 September lalu.

Lima terbabit ialah Ahmad Hamiduddin Ab Wahid, 24; Mohd Khairul Azfar Abdul Hamid, 19; Ahmad Hairol Abdul Salmi, 19; Nurairul Afzanniza Ahmad, 19 dan adik perempuannya yang berusia 17 tahun.

//

Sementara itu, Hakim Syarie Mohammad Adib Husain, menangguhkan sebutan kes terhadap lima lagi remaja yang ditahan di rumah sama kepada 11 November ini berikutan seorang daripada mereka tidak hadir semalam.

Mereka ialah Mohammad Firdaus Abdul Hamid, 21; Ahmad Kamal Norsabarudin, 25; Muhammad Muaz Norinzan, 21; Salahuddin Shafie Afandi, 24 dan yang tidak hadir, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Dua lagi yang ditahan di lokasi sama iaitu Jasni Md Noor, 46 dan pasangannya, Noorazeerin Abdul Hamid, 28, kakak kepada Mohd Khairul Azfar dan Mohammad Firdaus, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan dan dikenakan ikat jamin RM3,000 setiap seorang oleh dua penjamin sementara kes disebut semula pada 11 November ini.

ANTARA 12 yang ditahan berkhalwat di sebuah pangsapuri 5 September lalu.

Mohammad Adib menjatuhkan hukuman ke atas lima terbabit mengikut Seksyen 27 (A) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Tujuh yang lain juga menghadapi tuduhan mengikut seksyen sama.

Mohammad Adib berkata hukuman itu adalah wajar berdasarkan kesalahan remaja terbabit yang melakukan kegiatan tidak bermoral pada bulan Ramadan, selain turut mengambil kira faktor usia masing-masing.

“Segala kesalahan itu tidak boleh dipadamkan dan saya khuatir kamu menemui ajal sebelum sempat bertaubat atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Menurut fakta kes, kelima-lima mereka yang dijatuhkan hukuman itu ditahan Bahagian Penguatkuasa Jawi Putrajaya pada 5 September lalu kira-kira jam 3.24 pagi selepas menerima aduan orang ramai bersama bersama tujuh yang lain di pangsapuri yang disewa Noorazeerin, kakak Mohd Khairul Azfar.

Mohammad Adib juga menetapkan jaminan terhadap empat remaja yang kes mereka ditangguhkan itu sebanyak RM2,800 seorang dengan dua penjamin manakala waran tangkap dikeluarkan terhadap remaja yang tidak hadir semalam.