Kedatangan pelancong ke negara ini sememangnya digalakkan bagi membantu meningkatkan pendapatan negara.

Namun, kebanjiran warga Afrika ke negara ini dilihat turut menyumbang kepada faktor jenayah selain menimbulkan ketidakselesaan masyarakat tempatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan yang dikatakan mempunyai ramai warga Afrika seperti di Metro Prima, Kepong, Pandan Indah, Taman Melati dan Bandar Utama menunjukkan rata-rata masyarakat tempatan bimbang dengan kebanjiran ‘Awang Hitam’ ini.

Seorang pekerja sebuah syarikat insurans, Habibah Wahab, 47, berkata, dia bimbang kerana kehadiran lelaki Afrika di kawasan perumahannya adakalanya mengganggu pergerakan anak-anak remaja terutama gadis tempatan.

“Mereka ini mempunyai bentuk fizikal yang berbeza dengan masyarakat kita. Dengan memiliki susuk tubuh yang besar, sasa dan tegap, mereka juga kerap mengganggu anak-anak gadis kita.

“Disebabkan itu juga, saya cukup mengawal pergerakan anak perempuan saya yang kadangkala pulang ke rumah lewat malam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Utama di sini hari ini.

Jelas Habibah, golongan Awang Hitam dilihat suka bergerak secara berkumpulan dan sering membuat bising di persekitaran kondominium yang dimilikinya sejak empat tahun lalu.

Perkara itu disetujui oleh seorang pelajar kolej swasta di Damansara yang hanya mahu dikenali sebagai Helen, 21, yang turut merasa bimbang jika berdepan dengan Awang Hitam ini.

Jelas Helen, golongan itu sering menganggu dia dan rakannya apabila mereka pulang dari kampus.

“Selalunya mereka akan mengganggu kami ketika di kedai runcit, pulang sekolah dan yang lebih menakutkan di dalam lif.

“Saya pernah beberapa kali diusik dan Awang Hitam ini meminta nombor telefon saya untuk berkenalan. Namun, saya tidak melayan permintaannya,” katanya.

Seorang juruaudit yang dikenali sebagai Loius, 26, pula berkata, kumpulan Awang Hitam itu juga gemar membuat bising terutama pada waktu lewat malam.

Loius berkata, dia yang bekerja sebagai juruaudit sering pulang ke rumah lewat malam dan selalu terserempak dengan golongan itu yang berkumpul sambil meminum minuman keras.

“Kadang-kadang mereka sering bergaduh apabila mabuk namun setakat itu tiada merosakkan harta benda awam dan penduduk,” katanya.

Tambah Loius, tindakan seperti pengawalan kemasukan mereka ke negara ini yang sering menggunakan pas pelajar perlu dipantau pihak berwajib agar perkara tidak diingini dapat dielakkan.

Selain itu, seorang jurujual buah-buahan yang dikenali sebagai Kodie, 30, menjelaskan dia pernah memberi amaran kepada golongan Awang Hitam ini yang sering membuat bising dan berkumpul di sekitar gerainya.

Katanya, golongan itu tidak tahu menghargai dan menghormati nilai budaya masyarakat di negara ini.

Seorang lagi pelajar sebuah universiti tempatan di ibu kota yang enggan dikenali berkata, dia nyaris terjerat dengan janji-janji manis Awang Hitam ketika belajar bersama.

“Saya hanya berkawan seperti biasa dengan dia. Tapi lama-kelamaan dia mulai mengajak saya ke rumah untuk makan malam dan sebagainya.

“Apabila saya menolak, dia cakap dia ikhlas berkawan dengan saya dan mahu berkahwin,” katanya.

Pelajar tersebut mengakui Awang Hitam itu memang pandai bermain kata-kata dan gadis-gadis yang ‘lemah’ serta cepat terpengaruh mungkin mudah jatuh hati dengan mereka.