BUDAYA warga Afrika yang begitu asing dan kasar menimbulkan ketidakselesaan di kalangan penduduk tempatan di negara ini. Lebih mencemaskan, kebanjiran golongan itu di beberapa lokasi sekitar ibu negara menggambarkan mereka seolah-olah penduduk asal kawasan berkenaan.sk_01_bigTidak dapat dipastikan status sebenar golongan yang dikenali sebagai Awang Hitam ini, sama ada mereka benar-benar pelancong, pelajar atau memasuki negara ini secara haram.

Namun, apa yang pasti, kehadiran mereka yang semakin sukar dibendung sebenarnya tidak disenangi penduduk tempatan kerana mengundang pelbagai masalah sampingan.

Jika sebelum ini, warga Afrika sering dikaitkan dengan sindiket ‘black money’ atau pengedaran dadah, tidak mustahil Awang Hitam akan terus bermaharajalela di ibu negara melakukan jenayah berat, jika kehadiran mereka yang tidak diundang itu dipandang sepi pihak berkuasa.

Sudah berulang kali desakan dibuat agar masalah kebanjiran pendatang asing warga Afrika ditangani segera.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak penguat kuasa namun kehadiran mereka bukannya berkurangan malah semakin bertambah saban hari.

Kebimbangan masyarakat di negara ini juga sudah banyak kali diluahkan di dada-dada akhbar mengenai kehadiran warga Afrika yang semakin ramai dan lebih dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ di negara ini, namun ia seolah-olah tidak memberi kesan.

Akibatnya, satu demi satu masalah dan perlakuan jenayah membabitkan warga Afrika diselongkar.

Insiden terbaru yang mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia ialah seorang lelaki Sudan yang dituduh membunuh anak perempuan kekasihnya yang berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di sebuah kondominium di Hulu Langat pada 12 Oktober lalu.

Perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen mendapati dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 56,240 warga Afrika memasuki negara ini secara sah.

Kemasukan pelawat dari Afrika Selatan mengatasi negara-negara Afrika yang lain dengan 20 peratus dari keseluruhan daftar kemasukan.

Perangkaan yang sama, sepanjang tahun lalu menyaksikan 110,805 warga Afrika memasuki Malaysia manakala 81 peratus daripada mereka merekodkan aliran keluar semula dari negara dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan undang-undang ke atas 128 warga Afrika atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu termasuk tamat tempoh permit, terlibat dalam aktiviti pelacuran dan pemalsuan dokumen.

Daripada jumlah itu, 48 peratus kesalahan adalah dilakukan oleh warga Nigeria diikuti Sudan dengan 18 peratus dan Somalia (13 peratus).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin turut menyatakan kebimbangannya dengan kebanjiran warga Afrika yang bertumpu di beberapa lokasi terpilih di ibu negara seperti Puchong, Seri Kembangan, Ampang, Kepong dan Pandan Indah.

Ketika diminta mengulas mengenai senario itu, pemimpin nombor satu Jabatan Siasatan Jenayah itu berkata, situasi tersebut ekoran wujudnya persepsi kononnya mereka akan berada di ruang lingkup yang ‘selesa’ jika berada di kawasan dipenuhi kaum mereka.

“Jadi ia akan mendorong serta cenderung untuk melakukan jenayah disebabkan memikirkan mereka ‘raja’ di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.

Tegasnya, polis sentiasa memantau pergerakan mereka termasuk meletakkan anggota polis berpakaian preman terutama di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi tumpuan golongan itu.

Beliau menambah, sekiranya dilihat pada trend terkini, warga Afrika kebanyakannya memasuki negara menggunakan pas pelajar.

“Bila sampai sini, mereka tak belajar sebaliknya melakukan jenayah. Pas sebagai pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya swasta itu hanyalah sebagai tiket untuk mereka memasuki Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan mereka menyamun kaum mereka sendiri. Bagaimanapun, mangsa mungkin tidak mendedahkan atau membuat laporan kerana khuatir keselamatan disebabkan mereka senang dikesan di kalangan sesama kaum.

Apa yang membimbangkan serta menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang ramai, kata Mohd. Bakri, adalah gelagat mereka yang gemar berkumpul secara beramai-ramai di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan daripada mereka dilihat terlibat dalam kegiatan pemalsuan wang, dadah, penipuan dan curi,” ujarnya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Mohd. Bakri, seramai 21 warga Afrika ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

Menurutnya, 76 peratus daripada kesalahan yang dilakukan adalah mencuri, diikuti pecah rumah, samun berkawan tanpa senjata dan mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan perangkaan sepanjang tahun lalu, beliau berkata, jenayah curi membabitkan warga Afrika masih mengatasi kesalahan lain dengan 54 peratus, diikuti samun berkawan tanpa bersenjata, pecah rumah, mendatangkan kecederaan dan bunuh.

Beliau berkata, trend terkini juga memperlihatkan penglibatan mereka dalam kes-kes pecah hotel.

Dalam pada itu Mohd. Bakri mengakui warga Afrika memang cukup pandai untuk memikat wanita tempatan dengan menggunakan pujuk rayu sebagai senjata utama mereka.

“Wanita kita (Malaysia) pula senang terpedaya dengan kata-kata manis tanpa menyedari agenda mereka di sebalik itu,” jelasnya.

Malah, lebih menyedihkan kata beliau, ada wanita tempatan yang sanggup merelakan diri mereka dicabul dan dirogol.

Sehubungan itu, beliau meminta, gadis-gadis tempatan supaya mengambil iktibar dan tidak mudah terjerumus untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dan salah di sisi undang-undang.