Perubahan fizikal, seksual mula dirasai pada usia 40 tahun

LELAKI dalam lingkungan usia 40 ke 60 tahun kerap dikaitkan dengan krisis pertengahan usia. Walaupun mungkin ada yang memandangnya dari sudut negatif, ia sebenarnya sebahagian proses kematangan normal.

Semua orang akan melalui detik perubahan emosi dalam hidup. Namun, bagaimana anda menangani perubahan itu yang akan mempengaruhi hidup. Ada lelaki yang berjaya mengharunginya dengan baik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bagi sesetengah lelaki, krisis pertengahan usia sangat merumitkan hingga membawa kepada tekanan perasaan atau mungkin perceraian.

Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari, berkata jika wanita mengalami putus haid, lelaki pula kerap tersepit dalam permasalahan di usia pertengahan.

Ada penyelidik yang melihatnya sebagai andropaus, namun bagi Dr Muhsin ia sebenarnya lebih kepada keupayaan seseorang lelaki itu untuk menangani masalah yang dihadapinya.

“Perkara paling asas ialah menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran yang positif,” katanya.

Kata Dr Muhsin, lelaki dengan emosi yang tidak stabil mula berfikiran negatif, membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan.

“Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan,” katanya.

Dr Muhsin berkata, krisis pertengahan umur di kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun hormon testosteron menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat, antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit. Fungsi seksual juga berkurangan sekali gus mempengaruhi sosiologi.

Perubahan biologi dilalui oleh semua orang lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama. Ia berkait dengan isu paling asas, menjaga pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif.

Ada kala tekanan perasaan pada pekerjaan ditambah dengan masalah kesihatan akan menyebabkan lelaki hilang kawalan dalam hidupnya. Ada juga lelaki yang berkeinginan memulakan hubungan baru kerana melihat kehidupan sosialnya yang semakin stabil dan anak-anak juga sudah meningkat dewasa.

Dr Muhsin berkata, lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan umur kerap tidak menyedari masalah sebenar. Isteri atau ahli keluarga yang rapat boleh membantunya. Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dialami.

Jika ia dikaitkan dengan masalah andropaus, ia perlu dirujuk kepada doktor. Mengambil terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan perubatan Barat. Namun, keupayaan mengawal diri, bersenam dan menjaga kesihatan adalah antara langkah paling asas dan utama.

INFO: Simptom lelaki alami krisis pertengahan usia

  • Berasakan tidak bahagia dengan hidupnya atau gaya hidupnya
  • Bosan dengan mereka yang berada di sekelilingnya dan bidang yang dulu menarik minatnya.
  • Mempersoalkan pilihan yang tidak dibuat dalam hidup dan mengapa mereka tidak memilih sebaliknya
  • Marah pada pasangan dan rasa terikat dengannya
  • Tidak berupaya membuat keputusan hala tuju hidup mereka
  • Keinginan menjalin perhubungan baru.