Perbicaraan kes khalwat seorang pegawai Imigresen, Harlina Harun, 32, di Mahkamah Tinggi Syariah, di Kangar, ditangguhkan selepas pertuduhan yang dihadapi wanita berkenaan dikatakan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Azzeman Omar selepas meneliti hujah dikemukakan pihak pendakwaan yang diwakili peguam syarie, Fakhrurrazi Md Mahdzir serta peguam tertuduh, Zulmi Sabri.

Berdasarkan hujah Zulmi berkata, pertuduhan dibuat ke atas anak guamnya tidak sah kerana tidak mengikut peruntukan Seksyen 160 Enakmen Prosedur Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991.

Justeru, Zulmi memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru untuk sebutan semula kes, bagi membolehkan pihaknya membuat bantahan secara bertulis mengenainya.

“Saya minta diberikan tempoh dua minggu untuk membuat bantahan terutama mengenai tangkapan ke atas anak guam saya yang dilakukan secara tidak sah oleh Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) pada hari kejadian,” katanya.

Difahamkan, Seksyen 160 Enakmen Prosedur Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 menentukan seorang pendakwa hendaklah menjadi pendakwa syarie dalam kes dan dia hendaklah mengawal dan mengarahkan semua pendakwaan serta prosiding kes jenayah.

Terdahulu, Fakhrurrazi memohon untuk melakukan pindaan terhadap pertuduhan khalwat yang dikenakan ke atas Harlina terutama membabitkan waktu tangkapan dibuat.

“Pihak pendakwa meminta persetujuan mahkamah untuk meminda tempoh khalwat yang dilakukan tertuduh pada 20 September lalu di Hotel Putra Palace iaitu daripada jam 5.30 pagi sebelum ini, kepada antara jam 1 pagi sehingga 5.30 pagi hari sama,” katanya.

Hakim selepas meneliti hujah kedua-dua pihak kemudian menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Bagaimanapun nilai ikat jamin RM4,000 yang dikenakan ke atas tertduduh sebelum ini dikekalkan.

Harlina, yang sudah bersuami dan mempunyai dua anak sebelum ini dihadapkan ke mahkamah selepas ditangkap khalwat ketika hari jadinya bersama seorang lelaki bukan Islam di Hotel Putra Palace, di sini, pada 20 September tahun lalu.

Dia yang berasal dari Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 9 Prosedur Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991, di mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.