Premis haram di pusat beli-belah disita, produk berahi RM20,000 dirampas

ANGGOTA penguat kuasa MPSJ merampas patung plastik pemuas nafsu yang turut dijual di kedai peralatan seks.

SUBANG JAYA: Segala jenis peralatan untuk kepuasan seks dijual secara terang-terangan di premis yang dikesan beroperasi secara haram di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Malah, pakej istimewa dinamakan ‘Kombo Klimak’ yang menghimpunkan alat kemaluan palsu tanpa wayar berserta bebola tajam untuk seks ganas dipamerkan di rak terbuka bersama tawaran harga istimewa. Kedudukan kedai terbabit yang hanya bersebelahan pawagam menjadi tumpuan ramai khususnya golongan muda, namun tiada sebarang tindakan dikeluarkan pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

Rungutan pengunjung terutama ibu bapa akhirnya disalurkan ke Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang kemudian membuat serbuan dan merampas lebih 1,000 jenis produk berahi bernilai RM20,000 selain menutup premis terbabit.

Setiausaha Perbandaran MPSJ, Slamat Hamzah, berkata sebenarnya pengusaha berkenaan menyalahgunakan lesen perniagaan yang sepatutnya digunakan untuk menjual barangan kesihatan.

“Selepas mendapat maklumat lengkap, kita menyerbu lokasi ini bagi memastikan pengusaha terbabit dikenakan tindakan sekali gus menjadi amaran kepada mana-mana peniaga jangan menyalahgunakan lesen dan permit diluluskan.
“Bukan hanya operasi seperti ini, pegawai kita sentiasa menjalankan pemantauan di setiap pusat beli-belah, malah turut menyiasat aduan ramai untuk mengelakkan premis serupa dibuka di tempat awam,” katanya selepas operasi sita dan tutup premis yang dilakukan kira-kira sejam dengan disertai 20 penguat kuasa MPSJ, di sini, semalam.

Mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ 2007), barangan boleh disita, manakala kompaun maksimum RM1,000 dikenakan terhadap pemilik lesen.

Tinjauan Sentral mendapati premis satu pintu di aras tiga pusat beli-belah dikendalikan seorang kakitangan lelaki berusia 20-an ketika serbuan dilakukan.

Setiap peralatan seks yang dipamerkan di rak tepi dinding dengan dibahagikan kepada jenis tertentu termasuk kondom, alat sulit palsu lelaki sama ada menggunakan bateri atau manual, tiub minyak pelincir hubungan dan pam payu dara plastik.

Lebih mengejutkan apabila patung plastik yang popular di luar negara sebagai ganti wanita sebenar untuk pemuas nafsu yang dianggarkan berharga hampir RM1,000 berdasarkan tanda harga dikotak, diletakkan di sudut kedai itu.

Bagi menarik perhatian pelanggan, satu lagi patung wanita yang dihiasi pakaian dalam seksi dipamerkan di pintu masuk kedai berkenaan sekali gus umpama penyambut tetamu.

Seorang pengunjung yang tidak mahu dikenali berkata, beliau hairan bagaimana kedai seumpama hanya dapat dikesan selepas empat bulan beroperasi dan berharap pengurusan pusat beli-belah dikenakan tindakan sama.

“Kita tidak boleh menyalahkan PBT kerana kebanyakan pengusaha seperti ini hanya bertopengkan lesen sah tetapi menjual produk berlainan daripada yang didaftarkan.

“Seharusnya pengurusan pusat beli-belah juga diberi amaran kerana mereka pastinya menyedari jenis bisnes di dalam setiap premis, bukan hanya tutup sebelah mata,” katanya.