Gara-gara menyimpan gambar di dalam telefon bimbitnya, seorang wanita berusia 30 tahun dari Bandar Baru Permas Jaya diugut sebanyak RM10,000.

Kejadian itu berlaku selepas dia dirompak seorang lelaki yang tidak dikenali di rumah sewanya pada 5.30 pagi, 9 April lalu di mana dua telefon bimbit dan wang tunai RM30 miliknya dilarikan.

Selepas melaporkan kejadian rompakan itu kepada polis pada hari yang sama, dua hari kemudian wanita itu menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki mengugut akan menyebarkan gambar-gambar peribadinya di dalam internet dan atau kepada kenalannya jika tidak membayar sebanyak RM10,000.

Lelaki itu juga menghantar beberapa gambar bogel wanita itu menggunakan perkhidmatan pesanan multimedia (MMS) kepada rakan-rakan serta kakaknya bagi menyakinkannya tentang ugutan itu.

Pengugut itu mendapat gambar itu daripada telefon bimbit yang telah dijual oleh perompak berkenaan kepadanya.

Polis yang bertindak atas maklumat awam melakukan serbuan ke sebuah gerai jualan VCD/DVD di Permas Jaya dan memberkas dua lelaki berusia 23 tahun.

Sebuah komputer riba, 150 keping DVD pelbagai tajuk dan 50 keping VCD/DVD lucah dirampas dalam serbuan itu.

Susulan tangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah premis di bandar raya ini dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun serta menjumpai sebuah telefon bimbit milik wanita itu yang masih tersimpan gambar-gambarnya.

Hasil siasatan, polis mendapati gambar-gambar wanita itu sudah diubah menjadi gambar lucah dengan teknik menindih gambar (superimpose).