Mahkamah Sesyen di Kuala Trengganu telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang guru al-Quran selepas mengaku bersalah merogol anak muridnya lima tahun lalu.

Hakim Che Mohd Zulkifly Jusoh memerintahkan hukuman penjara terhadap pesara kerajaan terbabit yang berusia 62 tahun dan mempunyai empat isteri, bermula dari tarikh sabitan semalam. Tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang kini berusia 19 tahun, didakwa melakukan perbuatan terbabit pada 11 Jun 2005 kira-kira jam 3 petang di sebuah rumah di daerah Marang selepas mengajar mangsa mengaji al-Quran.

Selepas mengaji, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pergi ke rumah saudara tertuduh, bagaimanapun, saudara tertuduh tidur dan dia mengambil keputusan untuk pulang sebelum terserempak dengan tertuduh yang bertindak menggosok lengan dan bahu mangsa.

Tertuduh mengumpan mangsa dengan memberikannya wang berjumlah RM10 sebelum membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan merogolnya.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Source: Berita Harian Online @ 24/9/2010.