Mangsa mengadu sakit selepas 6 hari pembedahan lahir anak

KOTA BHARU: Kegembiraan sepasang suami isteri menyambut kelahiran anak keempat tidak berpanjangan, apabila si isteri meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan selepas kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut guru wanita itu.

Anggota Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Musa Abd Kadir, 46, berkata isterinya, Aummil Khairri Abdul Razak, 44, bersalin secara pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, pada 17 Ogos 2010.

Menurut beliau, selepas 6 hari menjalani pembedahan melahirkan anak, isterinya mengadu masih berasa sakit di perut. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, beliau merujukkannya semula kepada doktor bertanggungjawab di hospital yang sama untuk mendapatkan penjelasan.

Doktor kemudian memaklumkan ada dua kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut isteri nya selepas imbasan X-ray dilakukan dan memerlukan pembedahan kedua untuk mengeluarkannya. Pembedahan kedua kemudiannya terpaksa dibuat bagi mengeluarkan kain kapas pembedahan yang tertinggal tersebut kerana isterinya sudah tidak dapat menahan kesakitan.

Bagaimanapun, selepas pembedahan kedua dilakukan oleh doktor HUSM, si isteri yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim di Kota Bharu masih mengalami kesakitan teruk selain kesan pembedahan tidak dijahit dengan sempurna dimana jahitan yang dilakukan seolah-olah tidak habis dijahit sehingga mendatangkan kesakitan berpanjangan kepada si isteri.

Komplikasi pembedahan melahirkan anak akibat daripada kain kapas pembedahan yang tertinggal dalam perut, menyebabkan guru wanita tersebut meninggal dunia.

Source:  Berita harian online @ 24/9/2010.