Misteri kehilangan seorang gadis warga Taiwan yang dipercayai diculik lelaki tempatan akhirnya terjawab apabila ‘mangsa’ rupa-rupanya didapati sedang berfoya-foya di Pulau Tioman, Pahang.

Mangsa, Lim Wey Woon, 27, pergi ke pulau berkenaan untuk melancong tanpa memaklumkan rancangannya itu kepada ahli keluarga dan rakan karibnya yang menyangka sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

Difahamkan, mangsa sengaja tidak menghubungi keluarga dan rakan karibnya itu dengan alasan telefon bimbitnya tidak dapat digunakan di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya dicari polis dan keluarga selepas wajahnya terpampang di dada akhbar minggu lalu.

Susulan itu, mangsa segera menghubungi keluarganya menggunakan telefon milik pekerja di pulau berkenaan bagi memaklumkan keadaannya dan lokasi dia berada. Sumber polis berkata, mangsa pulang semula ke ibu kota dan menemui keluarganya sebelum ke Balai Polis di Petaling Jaya, di sini, untuk menarik semula laporan kehilangan yang dibuat keluarganya sebelum itu.

“Laporan itu ditarik balik kerana mangsa menafikan dia diculik sebaliknya hanya ke pulau berkenaan untuk berehat dan melancong.

 “Mangsa dan ahli keluarganya yang lain akan pulang semula ke Taiwan, Selasa ini berikutan tempoh visa mereka tamat pada tarikh berkenaan,” katanya.

Terdahulu, mangsa yang datang bersendirian ke negara ini didakwa bertengkar dengan teman lelakinya warga Perancis tiba-tiba lesap begitu sahaja dan gagal dihubungi selepas dikatakan berkenalan dengan lelaki tempatan melalui Facebook sejak beberapa minggu lalu.

“Sebaik memutuskan hubungan dengan lelaki Perancis, mangsa menghabiskan masa dengan melancong selain menjalin persahabatan dengan lelaki tempatan. “Namun mangsa yang kehabisan wang menghubungi rakannya di Taiwan meminta bantuan kewangan pada 19 Oktober lalu. Susulan itu rakan karib mangsa bersetuju datang menghantar wang sambil menguruskan tugasan syarikatnya di negara ini,” katanya.