Masyarakat diminta supaya tidak terlalu cepat menghukum remaja yang bermasalah, sebaliknya cuba mendekati golongan terbabit dengan menggunakan kaedah kaunseling.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pendekatan terbaik untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja terutama lari dari rumah mengikut pasangan adalah menerusi kaedah kaunseling yang membabitkan perbincangan secara bersama antara ibu bapa dengan anak-anak.

“Saya ingat perkara yang macam ini (kaunseling) seharusnya berjalan. Saya rasa pihak sekolah, pihak Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam semuanya ada selalu buat.

“Jalan terbaik bukan menghukum tetapi melalui jalan perbincangan ataupun kita panggil kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-37 Sekolah Kebangsaan Ulu Sedaka dekat sini hari ini.

Beliau mengulas isu terkini berhubung masalah sosial yang membabitkan golongan remaja perempuan lari dari rumah mengikut kekasih sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa.

Jamil Khir berkata, golongan remaja terbabit bertindak sedemikian kerana perkembangan psikologi mereka yang memiliki sikap ingin disayangi dan menyayangi di samping terpengaruh dengan janji manis kekasih sehingga hilang pertimbangan.

“Ibu bapa ini pun dalam konteks hari ini menggunakan pelbagai kaedah untuk mendidik anak-anak cuma kadang-kadang bila sampai kepada kejutan keadaan itu, dia (remaja) ada orang yang bisik dengan sayang yang terlampau dalam, ‘I care about you, I love you so much, I cannot miss u,’ ini yang kadang-kadang dia jadi hilang pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata, setiap tindakan golongan remaja itu memerlukan pengawasan daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan sekolah bagi mengawal aktiviti mereka supaya tidak terlampau bersosial.

Jamil Khir turut meminta golongan remaja supaya tidak bertindak secara melulu yang boleh menyebabkan diri sendiri dan keluarga mendapat malu kerana setiap permasalahan yang timbul boleh dibawa berbincang bersama.

“Kalau ada tindakan yang di luar daripada kebiasaan yang kita nak lakukan tanya kawan-kawan, ibu bapa, mungkin tanya guru kaunseling dan sebagainya ini dapat membantu untuk menghindarkan dan mengurangkan masalah sosial ataupun remaja lari dari rumah,” katanya.

Ahad lalu seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilaporkan hilang dan disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan tetpi selepas ditemui, dia mengaku dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun.

Seorang lagi remaja perempuan, Nornabila Mat Yaacob, 15, yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit, di Jerantut, Isnin lalu, ditemui bersama teman lelakinya di Kuantan. – BERNAMA