Tidak menjadi halangan bagi Muslim menghadiri pengebumian bukan Islam, malah sesuai dengan agama toleransi dan kemanusiaan Islam memberikan ruang itu lebih-lebih lagi si mati ada pertalian keluarga, kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut.

Namun katanya, orang Islam yang menghadiri pengebumian itu dan mereka yang hendak memberikan bantuan dilarang menghadiri dan membabitkan diri dalam upacara keagamaan khas si mati.

“Islam itu agama yang cukup indah dan keindahannya patut ditunjukkan. Ia juga satu daripada dakwah Islam. “Tetapi, jangan sesekali membabitkan diri dalam upacara agamanya dan pastikan akidah tak berubah. “Pantang larang dan batasan kena juga dijaga. Dalam kelenturan itu, orang Islam mesti juga patuhi etika tertentu,” katanya diminta mengulas laporan Harian Metro Sabtu lalu mengenai tindakan satu keluarga besar Islam yang menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya, Johor Bahru.

Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden, Johor Bahru, Khamis lalu, dikebumikan seramai 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam. Upacara pengebumian itu turut disaksikan anak perempuan Liang beragama Buddha, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketurunan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974. Nooh berkata, hubungan keluarga tidak putus walaupun anak cucu memasuki Islam manakala nenek mereka bukan Islam.

“Masuk Islam tak memutuskan hubungan keluarga dan nasab seseorang, malah hubungan itu mesti dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes itu si mati walaupun bukan Islam masih mempunyai hak iaitu hak dari aspek kejiranan dan keturunan.