MUTAKHIR ini mula kedengaran rungutan masyarakat kita yang tidak selesa dengan kehadiran doktor lelaki di wad bersalin.

Segelintir masyarakat kita mahukan doktor wanita menguruskan semua urusan kelahiran di wad berkenaan.

Walaupun tuntutan ini ada rasionalnya daripada pelbagai aspek terutama membabitkan soal maruah dan keaiban seorang wanita, kita wajar membicarakan isu ini dalam konteks lebih luas dan terbuka secara profesional.

Kita perlu buang pemikiran sempit dan kolot yang memungkinkan kita mempunyai tanggapan negatif terhadap doktor lelaki.

Penulis sangat setuju kehendak dan cadangan masyarakat yang mahukan doktor wanita di semua wad bersalin di seluruh negara, namun adakah ia praktikal dan realistik untuk dicapai?

Dalam kita memperhalusi cadangan dan kehendak itu, kita perlu merungkai isu ini daripada dua perspektif penting iaitu daripada segi etika kerja dan profesionalisme seorang doktor serta yang kedua ialah statistik bilangan doktor di Malaysia.

Justeru dalam soal ini, kita perlu memberi perhatian kepada kod etika dan profesionalisme doktor dalam menguruskan pesakit.

Misalnya, di Malaysia semua doktor yang berdaftar perlu mengikuti dan mematuhi kod etika perubatan yang ditetapkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

Antara intipati kod etika dan garis panduan yang dikeluarkan MMC merangkumi kod kelakuan profesional (Code of Professional Conduct), tugas doktor (Duties of A Doctor) dan garis panduan etika (Ethical Guidelines).

Pengamal perubatan yang melanggar garis panduan dan etika ini boleh diambil tindakan undang-undang sehingga membatalkan pendaftaran mereka yang menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan amalan perubatan.

Justeru dalam hal ini, kita yakin doktor lelaki boleh dipercayai dan tidak akan melanggar kod etika berkenaan kerana ia akan menjejaskan kedudukan dan reputasi serta masa depan mereka.

Malah, bilangan kes perlanggaran etika yang membabitkan doktor terutama doktor lelaki seperti kes mengambil kesempatan ke atas pesakit wanita masih terlalu kecil, terpencil dan terkawal.

Sebagai contoh, mengikut laporan tahunan MMC, hanya 87 kes membabitkan pelbagai salah laku doktor yang dilaporkan sepanjang tahun 2008 berbanding bilangan doktor yang berdaftar seramai 20,280.

Ini membuktikan tidak wajar dan tidak adil untuk kita meragui etika profesionalisme doktor kita terutama doktor lelaki.

Pada masa sama, kita perlu terima hakikat jumlah doktor di Malaysia masih berkurangan dan tidak mencukupi.

Maka, dalam keadaan seperti ini kita tidak mempunyai banyak pilihan misalnya hendak memohon mendapatkan perkhidmatan doktor wanita.

Justeru, masyarakat perlu mengubah perspektif dan persepsi terhadap doktor lelaki dan pada masa sama berharap bilangan doktor di Malaysia meningkat dan mencukupi.