18/09/2012 – 06:31:55 AM
Seremban: Seorang bomoh berusia 48 tahun ditahan kerana memperdayakan empat wanita yang mengikuti rawatannya dengan menjadi isterinya melalui upacara pernikahan batin.Dia yang berasal dari Kuala Lumpur mengenakan syarat, pesakit perlu membayar RM200 dan menjadi isterinya selama 100 hari, kononnya bagi membolehkan mereka melakukan hubungan seks.

Mangsa dipukau

Bagaimanapun, dalam kes sebelum ini, mangsa mendakwa mereka dipukau ketika bertemu lelaki yang berlagak alim itu dan hanya menyedari dirogol apabila tersedar dalam keadaan berbogel.

Bagaimanapun, lelaki terbabit ditahan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di rumah seorang mangsanya di Kampung LBJ Labu dekat sini, jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketika ditahan, dia hanya memakai seluar dalam dipercayai bersedia untuk melakukan hubungan seks dengan wanita berusia 24 tahun yang sudah berkahwin itu.

Dapatkan rawatan kerana masalah zuriat
Ketua Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, Ahmad Hussaini Mustapha, berkata suspek ditahan hasil maklumat awam.

Siasatan mendapati mangsa menemui lelaki itu untuk mendapatkan rawatan kerana masalah tidak mendapat zuriat selepas lima tahun berkahwin, katanya di sini, semalam.

Guna ayat suci al-Quran

Beliau berkata, lelaki terbabit didapati menggunakan ayat suci al-Quran bagi meyakinkan wanita yang menemuinya untuk rawatan berkaitan kemurungan dan masalah rumah tangga.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 49, 50, dan 77 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu mencela agama Islam, menggunakan ayat suci al-Quran secara salah dan memperdaya serta melarikan wanita untuk seks.

Ahmad Hussaini berkata, jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Lelaki itu menjadi tangkapan pertama membabitkan aktiviti nikah batin di negeri ini akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Advertisements