Tag Archive: perceraian


PERKAHWINAN hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.

Mereka sebenarnya tidak memahami tujuan perkahwinan.Ramai remaja dan pasangan muda mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan alasan tidak mahu bergelumang dosa, sedangkan ketika itu mereka tidak mempunyai ilmu perkahwinan.

Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga.
Malah, tempoh percintaan yang lama bukan penentu perkahwinan yang dibina kekal hingga ke hujung nyawa.

Sikap berterus terang, termasuk menjelaskan sejarah cinta lama masing-masing sebelum bersatu dengan pasangan yang dinikahi menjadi faktor penting dalam mengukuhkan hubungan suami isteri. 

Dalam kehidupan sekarang, tidak dinafikan bahawa sebelum berkahwin, masing-masing bercinta dengan orang lain. Ada kes, ketika bersatu sebagai suami isteri barulah rahsia sebelum ini terbuka.

Ada suami berasa tertipu apabila mendapati isteri yang disangka suci sudah tiada dara lagi pada malam pertama dan apabila suami tidak boleh menerima kenyataan, tercetuslah pergaduhan sehingga membawa kepada perceraian.

Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin.

Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci. 

Ketika ini perlu ada kesediaan menerima pasangan seadanya kerana sebelum berkahwin kita melihat nilai positif di dalam diri pasangan, jadi kenapa selepas berkahwin kita tidak boleh menerima keburukan pasangan. Hargai kekurangan yang ada dan pada masa sama berseronoklah dengan persamaan yang wujud.

Ketika awal pernikahan, cara berkomunikasi memainkan peranan utama dalam menentukan kerukunan rumah tangga berkekalan.

Perlu diingat, setiap orang tidak suka jika sentiasa dipersalahkan dalam apa jua perkara. Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman.

Bagaimanapun, ada pasangan yang tidak dapat menerima kekurangan ketara pada pasangan sehingga membawa kepada perceraian pada awal usia perkahwinan. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.

Ketika itu, pasangan perlu bersikap rasional demi mengelakkan perceraian kerana kita tidak boleh berputus asa terhadap mahligai yang dibina kerana perceraian adalah perkara halal paling tidak disukai Allah.

Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil.

Perkataan pertama yang perlu dipadamkan terus daripada fikiran seorang suami ialah cerai kerana ia menandakan anda sememangnya ingin memberikan komitmen penuh untuk menjayakan sesebuah perkahwinan.

Pasangan muda sekarang tidak nampak impak perceraian kerana mereka tidak memikirkan soal tanggungjawab, selain tidak mendalami ilmu pernikahan sehinggakan mereka berani mempermainkan perkataan cerai itu sendiri.

Modul kursus praperkahwinan yang ada untuk bakal pengantin diteliti semula dengan menekankan pelbagai elemen baru terutama yang membabitkan ilmu rumah tangga.

Lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati.

INFO: Punca perceraian pasangan muda

  • Jahil ilmu rumah tangga
  • Gaya hidup moden yang banyak menjurus kepada masalah sosial
  • Belum bersedia menjadi suami isteri
  • Gagal memahami dan menghargai pasangan
  • Menyembunyikan sejarah silam
  • Masalah komunikasi
  • Kurang pemantauan daripada keluarga dan orang tua
  • Kurang masa berkualiti bersama-sama
  • Gagal memenuhi tuntutan batin pasangan.
  • Source: bharian online

    Kes 1: Berpunca orang ketiga

    Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin.

    Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.

    Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta.

    Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.

    “Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.

    Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.

    “Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.

    Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama. Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka.

    Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.

    “Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.

    “Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka,”

    “Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,”ujarnya.

    Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit

    HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.

    Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.

    “Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.

    Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.

    “Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.

    Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.

    “Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya.

    Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.

    “Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.

    Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.

    Source: bharian online