PUTRAJAYA 14 Nov. – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman dan pasangannya masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 terhadap tuduhan berkhalwat di sebuah hotel, di sini, awal pagi semalam.

Hakim Syarie Amran Mat Zin menjatuhkan hukuman itu selepas Dr Hasan dan Wan Sharifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, mengaku salah terhadap tuduhan masing-masing mengikut Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di bilik nombor 5227, Hotel Pullman Putrajaya Lakeside, No 2 Jalan P5/5, 62220, Putrajaya, sekitar jam 2.18 pagi semalam.

Terdahulu, Dr Hasan dan pasangannya yang tidak diwakili peguam mengaku faham kesan pengakuannya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan diketuai oleh Pendakwa Syarie Kanan, Che Saupi Che Husin, Mohd Hafiz Idris dan Faizal Ahmad.

Mengikut fakta kes, ketika pemeriksaan, sepasukan penguat kuasa agama diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama (KPPA) Wan Jaafar Wan Ahmad mendapati pintu bilik hotel berkenaan ditutup rapat, sebelum Wan Jaafar mengetuk pintu, sambil memberi salam.

Kira-kira lima minit kemudian, pintu bilik berkenaan dibuka oleh seorang lelaki Islam iaitu tertuduh pertama yang memakai baju kemeja lengan pendek berwarna biru muda dan seluar panjang berwarna coklat.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita Islam tidak bertudung dan memakai baju kemeja T hitam dan seluar panjang hitam duduk di kerusi berhampiran katil iaitu tertuduh kedua.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh tidak mempunyai sebarang hubungan mahram dan bukan suami isteri.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh lelaki adalah duda, manakala tertuduh perempuan masih bersuami dan kini dalam proses bercerai.